Make your own free website on Tripod.com

Pengenalan

Kelab Motosikal Jaguh Dan Lembah Kelang atau KEMOJA KLLK ditubuhkan bagi memberi peluang kepada para penunggang motosikal tanahair khususnya jenama nasional iaitu JAGUH menjadi ahli sebuah badan bukan kerajaan yang dapat menjana semangat patriotik kepada produk negara disamping dapat mengeratkan lagi silraturahim sesama ahli dan berbakti kepada negara menerusi program-program kebajikan seperti yang telah dilaksanakan oleh badan-badan bukan kerajaan yang lain yang terdahulu daripada kami. 

Penubuhan kelab ini juga lahir dari saranan serta seruan dari kerajaan yang menyeru kepada pihak-pihak NGO agar dapat mengurangkan risiko kemalangan jalanraya khususnya penunggang motosikal dimana dalam statistik Jabatan Pengankutan Jalan (JPJ), pengguna motosikal adalah merupakan penyumbang terbesar dalam kemalangan jiwa dalam negara kita.Cuba kita dengar dalam corong-corong radio dan tonton dalam peti televisyen sering terdengar dan terlihat berita mengenai perlumbaan motor haram diseluruh negara kita. Di Kuala Lumpur sahaja pada setiap malam minggu seperti sinonim dengan warga kota khususnya remaja akan berkumpul di Dataran Merdeka, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut remaja-remaja kita menyabung nyawa menunjukkan kehebatan masing-masing berlumba dijalan raya. Pihak kerajaan khususnya pihak Polis dan JPJ telah membelanjakan berjuta-juta ringgit melaksanakan program-program keselamatan jalan raya dalam menangani gejala ini. Maka dengan sebab inilah pihak Kelab mengambil kesempatan ini untuk bersama-sama dengan NGO-NGO yang lain dalam mengatasi permasalahan ini.

Kelab ini ditubuhkan pada 10hb Julai 2000 sejurus selepas pihak Edaran Motosikal Nasional (EMOS) melancarkan produk kedua mereka iaitu JAGUH dipasaran . Ia hasil dari inisiatif En. Abd Rashid, Tn Haji Mustafa, En Ibrahim bersama AJK penaja yang lain yang pada masa itu dapat merasakan betapa pentingnya penubuhan kelab ini untuk turut menyumbang sesuatu kepada negara kita yang tercinta. 

 

Objektif KEMOJA KLLK   

Aktiviti permotoran di Malaysia kini telah bekembang dengan begitu pesat sekali namun sering kita dengar ianya telah dimonopoli oleh jenama-jenama dari luar negara yang mana begitu sinonim dengan  selera rakyat Malaysia. Selaras dengan usaha kerajaan DRB HICOM dengan anak syarikatnya Edaran Motosikal Nasional (EMOS) telah berjaya mengimbangi penjualan jenama-jenama luar ini di pasaran negara dengan keluaran produk sendiri iaitu KRISS , JAGUH dan yang terbaru adalah skuter nasional KARISMA.

Selaras dengan kejayaan tersebut pihak Kelab ingin mengambil kesempatan ini untuk merealisasikan lagi matlamat kerajaan dalam mempromosikan keluaran motosikal negara dan seterusnya menyaingi produk luar negara.

Pihak kelab juga berhasrat bekerjasama dengan kerajaan dalam menyumbangkan tenaga dan idea dalam melaksanakan program-program Kerajaan dalam mempertingkatkan lagi kesedaran pengguna jalanraya khususnya penunggang motosikal akan pentingnya aspek-aspek keselamatan semasa menggunakan kemudahan dijalanraya.

Dalam mempromosi program-program peringkat negeri dan nasional seperti sambutan hari–hari perayaan besar seperti Sambutan Kibar Jalur Gemilang dan Sambutan Hari Kemerdekaan Negara , hasrat kerajaan untuk menyemaikan perasaan CINTAKAN NEGARA MALAYSIA akan dapat dicapai kerana ianya didukungi oleh produk nasional yang menjadi kebanggaan negara kita . Sering kita lihat sejak kebelakangan ini jenama-jenama dari luar negara seperti GOLD WING dan SUPERBIKE seperti diagung-agungkan penyertaan mereka dalam memeriahkan hari-hari perayaan negara sedangkan motosikal  nasional seperti dianaktirikan.

Penekanan terhadap daya kretiviti rakyat Malaysia dalam bidang modifikasi terhadap sesuatu akan menjadikan seseorang itu berminat kepada kecantikan dan kebersihan serta keselamatan dimana aspek – aspek ini akan disemai dan diterapkan dalam peribadi ahli.

Masalah kerosakan moral remaja dewasa ini khususnya perlumbaan motor haram amat membimbangkan negara dimana menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengankutan dan jabatan trafik PDRM penunggang motosikal merupakan penyumbang terbesar dalam kemalangan jiwa dalam negara. Dengan akitivit–aktiviti kesedaran dan kempen keselamatan jalan raya dikalangan remaja–remaja peringkat sekolah rendah dan menengah yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan dengan kerjasama NGO seperti kami akan dapat mengurangkan seterusnya menghapuskan aktiviti–aktiviti lumba haram ini.

Maka KEMOJA KLLK ini diwujudkan sebagai satu badan yang bertanggungjawab merealisasikan hasrat murni kerajaan dan seterusnya menjadi payung kepada penunggang–penunggang motosikal dalam menangani permasalahan–permasalahan moral rakyat malaysia .            

Kepada Ahli–ahli, pihak kelab dengan intregasi maklumat yang lengkap akan menjadikan KEMOJA KLLK sebagai salah satu dari pertubuhan– pertubuhan yang berdaftar yang mampu membantu kerajaan dalam mengurangkan risiko kemalangan jalan raya kepada penunggang–penunggang motosikal. Hasrat kami agar Kelab kami yang berdasarkan produk nasional jenama JAGUH dengan kerjasama kelab–kelab Jaguh seluruh Malaysia mampu menjadi pelopor dalam megurangkan bebanan kerajaan dalam menangani permasalahan yang tiada penghujung ini.